Habil dan Qabil |
Tatacara hidup suami isteri Adam dan Hawa di bumi mulai tertib dan sempurna tatkala Hawa bersedia untuk melahirkan anak-anaknya yang akan menjadi benih pertama bagi umat manusia di dunia ini.
Siti Hawa melahirkan kembar dua pasang.Pertama
lahirlah pasangan Qabiel dan adik perempuannya yang diberi nama
"Iqlima",kemudian menyusul pasangan kembar kedua Habiel dan adik perempuannya
yang diberi nama "Lubuda".
Kedua orang tua,Nabi Adam dan Siti Hawa,
menerima kelahiran keempat putera puterinya itu dengan senang dan gembira,
walaupun Hawa telah menderita apa yang lumrahnya dideritai oleh setiap ibu yang
melahirkan bayinya. Mereka meharapkan dari keempat anak pertamanya ini akan
menurunkan anak cucu yang akan berkembang biak untuk mengisi bumi Allah dan
menguasai sesuai dengan amanat yang telah dibebankan keatas bahunya.
Di bawah naungan ayah ibunya yang penuh cinta
dan kasih sayang maka membesarlah keempat-empat anak itu dengan cepatnya melalui
masa kanak-kanak dan menginjak masa remaja.Yang perempuan sesuai dengan qudrat
dan fitrahnya menolong ibunya mengurus rumahtangga dan mengurus hal-hal yang
menjadi tugas wanita,sedang yang laki-laki menempuhi jalannya sendiri mencari
nafkah untuk memenuhi keperluan hidupnya.Qabiel berusaha dalam bidang pertanian
sedangkan Habiel dibidang perternakan.
Penghidupan sehari-hari keluarga Adam dan Hawa
berjalan tertib sempurna diliputi rasa kasih sayang saling cinta menyintai
hormat menghormati masing-masing meletakkan dirinya dalam kedudukkan yang wajar
si ayah terhadap isterinya dan putera-puterinya,si isteri terhadap suami dan
anak-anaknya.Demikianlah pula pergaulan di antara keempat bersaudara berlaku
dalam harmoni damai dan tenang saling bantu membantu hormat menghormati dan
bergotong-royong.
Keempat Anak Adam Memasuki Alam
Remaja.
Keempat putera-puteri Adam mencapai usia
remaja dan mamasuki alam akil baligh di mana nafsu berahi dan syahwat serta
hajat kepada hubungan kelamin makin hari makin nyata dan nampak pada gaya dan
sikap mereka hal mana menjadi pemikiran kedua orang tuanya dengan cara bagaimana
menyalurkan nasfu berahi dan syahwat itu agar terjaga kemurnian keturunan dan
menghindari hubungan kelamin yang bebas di antara putera-puterinya.
Kepada Nabi Adam Allah memberi ilham dan
petunjuk agar kedua puteranya dikahwinkan dengan puterinya.Qabiel dikahwinkan
dengan adik habiel yang bernama Lubuda dan Habiel dengan adik Qabiel yang
bernama Iqlima.
Cara yang telah diilham oleh Allahs.w.t.
kepada Nabi Adam telah disampaikan kepada kedua puteranya sebagai keputusan si
ayah yang harus dipatuhi dan segera dilaksanakan untuk menjaga dan mengekalkan
suasana damai dan tenang yang meliputi keluarga dan rumahtangga mereka.Akan
tetapi dengan tanpa diduga dan disangka rancangan yang diputuskan itu ditolak
mentah-mentah oleh Qabiel dan menyatakan bahawa ia tidak mahu mengahwini Lubuda,
adik Habiel dengan mengemukakan alasan bahawa Lubuda adalah buruk dan tidak
secantik adiknya sendiri Iqlima.Ia berpendapat bahawa ia lebih patut
mempersunting adiknya sendiri Iqlima sebagai isteri dan sekali-kali tidak rela
menyerahkannya untuk dikahwinkan oleh Habiel.Dan memang demikianlah kecantikan
dan keelokan paras wanita selalu menjadi fitnah dan rebutan lelaki yang
kadang-kadang menjurus kepada pertentangan dan permusuhan yang sampai
mengakibatkan hilangnya nyawa dan timbulnya rasa dendam dan dengki diantara
sesama keluarga dan sesama suku.
Kerana Qabiel tetap berkeras kepala tidak mahu
menerima keputusan ayahnya dan meminta supaya dikahwinkan dengan adik kembarnya
sendiri Iqlima maka Nabi Adam seraya menghindari penggunaan kekerasan atau
paksaan yang dapat menimbulkan perpecahan di antara saudara serta mengganggu
suasana damai yang meliputi keluarga beliau secara bijaksana mengusulkan agar
menyerahkan masalah perjodohan itu kepada Tuhan untuk menentukannya.Caranya
ialah bahawa masing-masing dari Qabiel dan Habiel harus menyerahkan qurban
kepada Tuhan dengan catatan bahawa barangsiapa di antara kedua saudara itu
diterima qurbannya ialah yang berhad menentukan pilihan jodohnya.
Qabiel dan Habiel menerima baik jalan
penyelesaian yang ditawarkan oleh ayahnya.Habiel keluar dan kembali membawa
peliharaannya sedangkan Qabiel datang dengan sekarung gandum yang dipilih dari
hasil cucuk tanamnya yang rusak dan busuk kemudian diletakkan kedua qurban itu
kambing Habiel dan gandum Qabiel diatas sebuah bukit lalu pergilah keduanya
menyaksikan dari jauh apa yang akan terjadi atas dua jenis qurban
itu.
Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh
anggota keluarga Adam yang menanti dengan hati berdebar apa yang akan terjadi di
atas bukit dimana kedua qurban itu diletakkan, terlihatlah api besar yang turun
dari langit menyambar kambing binatang qurbannya Habiel yang seketika itu musnah
ternakan oleh api sedang karung gandum kepunyaan Qabiel tidak tersentuh sedikit
pun oleh api dan tetap tinggal utuh.
Maka dengan demikian keluarlah Habiel sebagai
pemenang dalam pertaruhan itu karena qurbannya kambing telah diterima oleh Allah
sehingga dialah yang mendapat keutamaan untuk memilih siapakah di antara kedua
gadis saudaranya itu yang akan dipersuntingkan menjadi isterinya.
Pembunuhan Pertama Dalam Sejarah
Manusia.
Dengan telah jatuhnya keputusan dari langit
yang menerima qurban Habiel dan menolak qurban Qabiel maka pudarlah harapan
Qabiel untuk mempersuntingkan Iqlima.Ia tidak puas dengan keputusan itu namun
tidak ada jalan untuk menolaknya. Ia menyerah dan menerimanya dengan rasa kesal
dan marah sambil menaruh dendam terhadap Habiel yang akan dibunuhnya di kala
ketiadaan ayahnya.
Ketika Adam hendak berpergian dan meninggalkan
rumah beliau mengamanahkan rumahtangga dan keluarga kepada Qabiel. Ia berpesan
kepadanya agar menjaga baik-baik ibu dan saudara-saudaranya selama
ketiadaannya.Ia berpesan pula agar kerukunan keluarga dan ketenangan rumahtangga
terpelihara baik-baik jangan sampai terjadi hal-hal yang mengeruhkan suasana
atau merusakkan hubungan kekeluargaan yang sudah akrab dan intim.
Qabiel menerima pesanan dan amanat ayahnya
dengan kesanggupan akan berusaha sekuat tenaga menyelenggarakan amanat ayahnya
dengan sebaik-baiknya dan sesempurna berpergiannya akan mendapat segala sesuatu
dalam keadaan baik dan menyenangkan.Demikianlah kata-kata dan janji yang keluar
dari mulut Qabiel namun dalam hatinya ia berkata bahawa ia telah diberi
kesempatan yang baik untuk melaksanakan niat jahatnya dan melepaskan rasa
dendamnya dan dengkinya terhadap Habiel saudaranya.
Tidak lama setelah Adam meninggalkan
keluarganya datanglah Qabiel menemui Habiel di tempat penternakannya.Berkata ia
kepada Habiel:"Aku datang ke mari untuk
membunuhmu.Masanya telah tiba untuk aku lenyapkan engkau dari atas bumi
ini."
"Apa salahku?"tanya
Habiel.Dengan asalan apakah engkau hendak
membunuhku?"
Qabiel berkata:"Ialah karena qurbanmu diterima oleh Allah sedangkan qurbanku
ditolak yang bererti bahawa engkau akan mengahwini adikku Iqlima yang cantik dan
molek itu dan aku harus mengahwini adikmu yang buruk dan tidak mempunyai gaya
yang menarik itu."
Habiel berkata:"Adakah berdosa aku bahawa Allah telah menerima qurbanku dan
menolak qurbanmu?Tidakkah engkau telah bersetuju cara penyelesaian yang
diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami laksanakan?Janganlah tergesa-gesa
wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nasfu dan ajakan syaitan! Kawallah
perasaanmu dan fikirlah masak-masak akan akibat perbuatanmu kelak! Ketahuilah
bahawa Allah hanya menerima qurban dari orang-orang yang bertakwa yang
menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni.Adakah
mungkin sesekali bahawa qurban yang engkau serahkan itu engkau pilihkannya dari
gandummu yang telah rusak dan busuk dan engkau berikan secara terpaksa
bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga ditolak oleh Allah, berlainan
dengan kambing yang aku serahkan sebagai korban yang sengaja aku pilihkan dari
perternakanku yang paling sihat dan kucintai dan ku serahkannya dengan tulus
ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh Allah.
Renungkanlah, wahai saudaraku kata-kataku ini
dan buangkanlah niat jahatmu yang telah dibisikkan kepadamu oleh Iblis itu,
musuh yang telah menyebabkan turunnya ayah dan ibu dari syurga dan ketahuilah
bahawa jika engkau tetap berkeras kepala hendak membunuhku, tidaklah akan aku
angkat tanganku untuk membalasmu karena aku takut kepada Allah dan tidak akan
melakukan sesuatu yang tidak diredhainya.Aku hanya berserah diri kepada-Nya dan
kepada apa yang akan ditakdirkan bagi diriku."
Nasihat dan kata-kata mutiara Habiel itu
didengar oleh Qabiel namun masuk telinga kanan keluar telinga kiri dan
sekali-kali tidak sampai menyentuh lubuk hatinya yang penuh rasa dengki, dendam
dan iri hati sehingga tidak ada tempat lagi bagi rasa damai, cinta dan kasih
sayang kepada saudara sekandungnya. Qabiel yang dikendalikan oleh Iblis tidak
diberinya kesempatan untuk menoleh kebelakang mempertimbangkan kembali tindakan
jahat yang dirancangkan terhadap saudaranya, bahkan bila api dendam dan dengkin
didalam dadanya mulai akan padam dikipasinya kembali oleh Iblis agar tetap
menyala-yala dan ketika Qabiel bingung tidak tahu bagaimana ia harus membunuh
Habiel saudaranya, menjelmalah Iblis dengan seekor burung yang dipukul kepalanya
dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh Iblis itu diterapkannya atas
diri Habiel di kala ia tidur dengan nyenyaknya dan jatuhlah Habiel sebagai
kurban keganasan saudara kandungnya sendiri dan sebagai kurban pembunuhan
pertama dalam sejarah manusia
Penguburan Jenazah Habiel.
Qabiel merasa gelisah dan bingung menghadapi
mayat saudaranya.ia tidak tahu apa yang harus diperbuat dengan tubuh saudaranya
yang semakin lama semakin busuk itu.Diletakkannyalah tubuh itu di sebuah peti
yang dipikulnya seraya mundar-mundir oleh Qabiel dalam keadaan sedih melihat
burung-burung sedang berterbangan hendak menyerbu tubuh jenazah Habiel yang
sudah busuk itu.
kebingungan dan kesedihan Qabiel tidak
berlangsung lama karena ditolong oleh suatu contoh yang diberikan oleh Tuhan
kepadanya sebagaimana ia harus menguburkan jenazah saudaranya itu.Allah s.w.t.
Yang Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana, tidak rela melihat mayat hamba-Nya yang
soleh dan tidak berdosa itu tersia-sia demikian rupa, maka dipertujukanlah
kepada Qabiel, bagaimana seekor burung gagak menggali tanah dengan kaki dan
paruhnya, lalu menyodokkan gagak lain yang sudah mati dalam pertarungan, ke
dalam lubang yang telah digalinya, dan menutupi kembali dengan tanah.Melihat
contoh dan pengajaran yang diberikan oleh burung gagak itu, termenunglah Qabiel
sejenak lalu berkata pada dirinya sendiri:"Alangkah
bodohnya aku, tidakkah aku dapat berbuat seperti burung gagak itu dan mengikuti
caranya menguburkan mayat saudaraku ini?"
Kemudian kembalilah Adam dari perjalanan
jauhnya.Ia tidak melihat Habiel di antara putera-puterinya yang sedang
berkumpul.Bertanyalah ia kepada Qabiel:"Di manakah
Habiel berada?Aku tidak melihatnya sejak aku pulang."
Qabiel menjawab:"Entah, aku tidak tahu dia ke mana! Aku bukan hamba Habiel yang
harus mengikutinya ke mana saja ia pergi."
Melihat sikap yang angkuh dan jawapan yang
kasar dari Qabiel, Adam dapat meneka bahawa telah terjadi sesuatu ke atas diri
Habiel, puteranya yang soleh, bertakwa dan berbakti terhadap kedua orang tuanya
itu.Pada akhirnya terbukti bahawa Habiel telah mati dibunuh oleh Qabiel sewaktu
peninggalannya.Ia sangat sesal di atas perbuatan Qabiel yang kejam dan ganas itu
di mana rasa persaudaraan, ikatan darah dan hubungan keluarga diketepikan
sekadar untuk memenuhi hawa nafsu dan bisikan yang menyesatkan.
Menghadapi musibah itu, Nabi Adam hanya
berpasrah kepada Allah menerimanya sebagai takdir dan kehendak-Nya seraya mohon
dikurniai kesabaran dan keteguhan iman baginya dan kesedaran bertaubat dan
beristighfar bagi puteranya Qabiel.
Kisah Qabiel dan Habiel Dalam
Al-Quran.
Al-Quran mengisahkan cerita kedua putera Nabi
Adam ini dalam surah"Al-Maaidah" ayat 27 sehingga ayat 32 .
Pengajaran Dari Kisah Putera Nabi Adam
A.S..
Bahawasanya Allah s.w.t. hanya menerima qurban
dari seseorang yang menyerahkannya dengan tulus dan ikhlas, tidak dicampuri
dengan sifat riyak, takabur atau ingin dipuji.Barang atau binatang yang
diqurbankan harus yang masih baik dan sempurna dan dikeluarkannya dari harta dan
penghasilan yang halal.Jika qurban itu berupa binatang sembelihan, harus yang
sihat, tidak mengandungi penyakit atau pun cacat, dan jika berupa bahan makanan
harus yang masih segar baik dan belum rusak atau busuk.
Bahawasanya penyelesaian jenazah manusia yang
terbaik adalah dengan cara penguburan sebagaimana telah diajarkan oleh Allah
kepada Qabiel.itulah cara paling sesuai dengan martabat manusia sebagai makhluk
yang dimuliakan dan diberi kelebihan oleh Allah di atas makhluk-makhluk lainnya,
menurut firman Allah dalam surah "Al-Isra" ayat 70 yang bererti ; "Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam.Kami angkut
mereka di daratan dan di lautan.Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan
Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang
telah Kami ciptakan."
Posting Komentar
Terima kasih telah membaca, mudah-mudahan apa yang anda baca ada manfaatnya. Dengan senang hati, jika anda berkomentar pada tempat yang disediakan dengan bahasa yang santun..